KUALA LUMPUR – Aksi Jelajah Dunia pertama sejak kembali digandingkan membawa tuah buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura.
Pada pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura hari ini, gandingan No. 4 dunia itu dipaksa bekerja keras untuk menundukkan pasangan Amerika Syarikat (AS), Presley Smith-Jennie Gai 21-18, 21-15.
Walaupun lebih sebulan tidak bermain bersama, namun Tang Jie-Ee Wei masih menunjukkan keserasian cukup baik walaupun dilihat sedikit bergelut sebelum berjaya menewaskan lawan yang menghuni ranking ke-43 dunia itu.
Tang Jie berkata, dia dan Ee Wei masih dalam proses untuk membentuk semula persefahaman selain memperbaiki beberapa kelemahan memandangkan sudah lama tidak beraksi bersama pada kejohanan kompetitif.
“Kami masih cuba untuk menjadi lebih baik dan ada banyak perubahan perlu dilakukan berdasarkan perlawanan hari ini (semalam). Kami akan berlatih lagi dan bersedia untuk perlawanan seterusnya Khamis ini.
“Berhubung sasaran kami untuk saingan sepanjang musim ini, kami mahu menggunakan pendekatan fokus terhadap satu demi satu perlawanan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Menjelang pusingan kedua Khamis nanti, Tang Jie-Ee Wei akan bertemu beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan yang menewaskan rakan sepasukan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh 16-21, 21-16, 21-9.
Ketika dipisahkan sebelum ini, kedua-dua pemain itu diberikan peranan untuk membimbing pemain-pemain junior apabila Tang Jie digandingkan dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei membentuk gandingan bersama Loo Bing Kun.
Sebagai rekod, mereka memulakan kempen musim ini dengan cukup baik apabila mara ke separuh akhir pada kejohanan Terbuka Malaysia dan Terbuka India, Januari lalu sebelum prestasi mula merosot yang membawa kepada perpisahan sementara. – KOSMO! ONLINE