PETALING JAYA – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) melaporkan peningkatan pendapatan sebanyak 19 peratus, mencecah RM980.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, jumlah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak RM154.6 juta berbanding RM826.0 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata, peningkatan utama pendapatan didorong oleh caruman yang lebih tinggi dan memberangsangkan daripada segmen takaful keluarga, terutamanya perniagaan kredit kumpulan.
“Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, Takaful Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM151.1 juta, lebih tinggi berbanding daripada RM150.3 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Ini menunjukkan kedudukan kukuh Takaful Malaysia, di mana kami terus beroperasi secara mampan meskipun berada dalam persekitaran yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Nor Azman berkata, perniagaan takaful keluarga pihaknya telah menjana pendapatan sebanyak RM608.2 juta bagi suku pertama 2025, dengan peningkatan ketara sebanyak 35 peratus berbanding RM449.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Perkara itu disebabkan oleh jumlah caruman yang lebih tinggi yang dikenakan untuk perlindungan takaful sebanyak RM93.2 juta dan pelepasan caruman yang lebih tinggi sebanyak RM44.3 juta.
“Segmen takaful am kami mencatatkan pendapatan sebanyak RM343.5 juta bagi suku pertama dalam tinjauan, sedikit rendah daripada RM350.4 juta yang dicatatkan untuk 2024, kerana kami terus memberi tumpuan kepada kualiti perniagaan yang diperoleh,” katanya. – KOSMO! ONLINE