PETALING JAYA – Kakak sulung pelakon Syatilla Melvin iaitu Syafiqa Melvin mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan sebuah akaun media sosial yang menawarkan perkhidmatan membuat sangkar kucing.
Menurut Syafiqa atau nama sebenarnya, Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, dia kerugian sebanyak RM800 selepas membuat tempahan menerusi media sosial baru-baru ini.
“Kak Long tertarik nak tempah sangkar dengan akaun itu sebab tengok followers (pengikut) ramai, posting (hantaran) banyak dan siap buat iklan berbayar.
“Jadi, Kak Long pun setuju untuk bayar deposit sebanyak RM400,” katanya menerusi perkongsian video di akaun Instagramnya malam ini.
Bagaimanapun, wanita itu mula curiga apabila pihak terbabit tidak bertanya lanjut berkenaan spesifikasi atau reka bentuk sangkar kucing yang ditempahnya.
“Lepas tiga empat hari, dia kata sangkar sudah siap. Bila Kak Long minta gambar, dia jawab lori dah sampai, nak gerak dah. Rasa pelik tapi tetap bayar baki RM400 sebab dia janji hantar hari tu juga (hari sama),” katanya.
Bagaimanapun, selepas pembayaran penuh dibuat, sangkar kucing yang dijanjikan tidak diterima dan pelbagai alasan diberikan oleh peniaga tersebut termasuk mendakwa tidak sempat membuat penghantaran.
Difahamkan, selepas membuat carian di internet, Syafiqa mendapati akaun berkenaan tersenarai sebagai ‘scammer’ dan didakwa memperdaya ramai individu lain sebelum ini.
“Malah, ada yang mendakwa individu di sebalik akaun itu menghantar gambar kononnya mahu menyantau orang apabila dimarahi atau diugut,” ujarnya.
Syafiqa memaklumkan laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan berharap orang ramai dapat membantu menyebarkan video pendedahan tersebut bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
“Saya bukan nak duit balik, tapi saya tak mahu orang lain tertipu. Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), tolong pandang perkara ini dan ambil tindakan kerana kedai tersebut dah berleluasa menipu ramai orang,” katanya.
Syafiqa turut menyatakan kesediaannya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan individu terbabit dikenakan tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE