DUNGUN -Seorang suri rumah kerugian RM112,206 selepas diperdaya sindiket pekerjaan palsu.
Wanita berusia 27 tahun tersebut membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini pada semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, pada mulanya, suri rumah itu tertarik dengan iklan tawaran kerja pembungkusan produk kraf dari rumah yang dilihatnya di laman Facebook pada 19 Mei lalu.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan individu yang mengaku kononnya wakil syarikat kraf terbabit sebelum memberikan maklumat peribadinya.
“Dia seterusnya diberi pautan yang disambungkan terus ke platform e-dagang bagi melakukan tugasan diberikan,” katanya di sini hari ini.
Maizura berkata, suri rumah terbabit kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan khas yang dijanjikan kononnya komisyen lumayan setelah membuat pembayaran RM100.
Beliau berkata, wanita itu kemudiannya melakukan tugasan diarahkan dengan membuat 31 transaksi pindahan wang ke dalam 10 akaun bank berasingan.
“Begitupun, suspek enggan membayar komisyen dijanjikan dengan alasan kononnya akaun bank milik syarikat kraf terbabit telah dibekukan.
“Mangsa yang telah membuat pelaburan RM112,206 rasa tertipu dan membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE