KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa sukan permotoran tidak pernah disisihkan, sebaliknya terus menerima sokongan menerusi peruntukan sebanyak RM5.6 juta bagi tahun 2025.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, walaupun fokus utama tertumpu kepada penyediaan atlet ke temasya besar seperti Sukan Olimpik, namun sukan permotoran tetap diberikan fokus selari dengan status sebagai salah satu daripada 103 sukan yang digazetkan di bawah KBS.
Menurut Hannah, jumlah tersebut telah diperuntukkan bagi membangunkan sukan permotoran merangkumi pelbagai peringkat termasuk penyertaan individu.
“KBS memang fokus kepada Sukan Olimpik, tetapi kita sekarang ada 103 sukan yang digazetkan dan sukan permotoran adalah salah satu daripadanya.
“Oleh itu, kita memang ada bajet untuk sukan permotoran, tetapi dalam gambaran yang lebih besar, sudah tentu ia tidak pernah mencukupi.
“Bagaimanapun, kita telah menyalurkan sebanyak RM1.9 juta kepada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dan juga kita beri RM450,000 kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri.
“Kita juta menyalurkan RM3.2 juta kepada kelab-kelab dan persatuan di peringkat negeri,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian CIMB Group Holdings Berhad bersama pelumba muda, Amer Harris Jefry yang bersaing dalam perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia hari ini.
Tambah Hannah, KBS memperluaskan inisiatif dengan membenarkan atlet individu memohon bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi membantu menampung kos penyertaan di peringkat antarabangsa.
“Dana KWASN ini, di mana kita telah membenarkan atlet individu untuk memohon. Jadi sebelum ini, hanya persatuan yang boleh memohon.
“Atlet seperti Amir, apabila menyertai kejohanan, mereka boleh memohon dan KBS akan memberi geran kecil untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan perlumbaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru lebih banyak pihak korporat agar tampil membantu pembangunan sukan negara, khususnya arena yang memerlukan pembiayaan besar seperti permotoran.
“Kita tidak boleh bergantung kepada satu atau dua syarikat sahaja. Saya harap syarikat besar, terutamanya bank-bank utama seperti CIMB, tampil ke hadapan dan mengambil satu sukan sebagai sukan angkat mereka.
“Kita ada 103 sukan telah digazetkan, jadi pasti ada satu yang sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada strategi penjenamaan korporat mereka,” ujar Hannah. – KOSMO! ONLINE