MELAKA – Polis Melaka sedang merangka kertas cadangan mengharamkan penjualan vape di negeri ini susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaannya dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya sedang mengkaji semua aspek berkaitan sebelum mengusulkan cadangan itu kepada kerajaan negeri.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan kepada kerajaan negeri Melaka agar penjualan vape diharamkan sepenuhnya.
“Kita sedar implikasinya bukan hanya melibatkan orang dewasa, tetapi juga dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Dzulkhairi berkata, antara yang diberi perhatian dalam kertas cadangan itu adalah peningkatan ketara kes pelajar sekolah yang terlibat dalam penggunaan vape, termasuk yang mengandungi bahan terlarang.
“Kita lihat pelajar sekolah yang sepatutnya balik ke rumah selepas tamat sesi persekolahan tetapi ada yang ditemui terbongkang bawah pokok menghisap vape, ini bukan perkara kecil, ia sudah menjadi satu masalah sosial serius.
“Kertas kerja yang sedang disiapkan akan meneliti pelbagai sudut termasuk implikasi kepada ekonomi masyarakat dan penjual vape sedia ada, sekiranya larangan itu dilaksanakan serta-merta,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga boleh mengambil contoh penguatkuasaan larangan penjualan vape yang dilakukan negeri Johor serta beberapa negeri lain yang kini dalam proses untuk melaksanakan tindakan sama.
Dzulkhairi berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain untuk melengkapkan kertas kerja itu yang dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.- KOSMO! ONLINE