PUCHONG – Dua beranak berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana, di sini petang tadi.
Mangsa merupakan wanita warganegara Indonesia berusia lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, terperangkap dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.25 petang.
“Setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong di lokasi, didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap enam buah kenderaan.
“Kenderaan terlibat termasuk Toyota Avanza, Perodua Aruz, Perodua Myvi, Proton Wira, Proton Waja dan sebuah lori satu tan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga dan kerja-kerja menebang serta mengalihkan pokok sedang dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE