KUALA LUMPUR – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjangkakan pertumbuhan perdagangan antara rantau itu dengan ASEAN mencapai purata 30 peratus bersamaan USD180 bilion menjelang 2026.
Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata, dalam bidang ekonomi dan pelaburan, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN pada tahun 2023, dengan jumlah perdagangan sebanyak USD130.7 bilion.
Menurut baginda, potensi pelaburan antara kedua-dua pihak sangat luas dengan pertumbuhan perdagangan GCC-ASEAN melebihi USD128 bilion pada 2023, bersama dengan peningkatan pelaburan Teluk di pasaran Asia.
“Ini sekali gus mencerminkan keyakinan bersama dan integrasi ekonomi yang semakin mendalam. Justeru kami menekankan kepentingan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknikal.
“Kami mengharapkan hasil positif dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedang berlangsung antara kedua-dua pihak. Ini akan meningkatkan peluang pelaburan dan menyokong rantaian bekalan serantau,” katanya berucap semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Baginda berkata, dalam bidang politik dan keselamatan, GCC menegaskan komitmen terhadap dialog konstruktif, persefahaman bersama, menghormati kedaulatan dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman.
“Semua ini penting untuk meningkatkan kestabilan serantau dan antarabangsa. Kami juga menyeru pengukuhan kerjasama dalam memerangi keganasan, ekstremisme, dan jenayah terancang, meningkatkan perkongsian maklumat risikan dan memperbaiki keupayaan tindak balas krisis,” katanya.
Mengenai keselamatan tenaga dan kerjasama perubahan iklim, GCC mengesahkan bahawa keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar adalah keutamaan antarabangsa.
“Kami menghargai kemajuan ASEAN dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan menyatakan kesediaan untuk bertukar kepakaran dalam tenaga bersih, hidrogen hijau dan teknologi karbon rendah untuk menyokong matlamat Perjanjian Paris,” ujarnya.
Berhubung sidang kemuncak hari ini, baginda berkata, ia penting dan merupakan satu stesen asas kepada GCC untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Kata baginda, ia mencerminkan kedalaman hubungan sejarah dan pembaharuan komitmen bersama untuk membina perkongsian strategik berasaskan kepentingan bersama dan prinsip undang-undang antarabangsa, sambil mempromosikan pembangunan inklusif dan lestari untuk rakyat.
“Sidang Kemuncak Riyadh pertama antara kedua-dua pihak pada 20 Oktober 2023, merupakan permulaan yang berjaya untuk merangka rangka kerja kerjasama komprehensif.
“Kami berhasrat untuk membina momentum ini dengan panduan Rangka Kerjasama Strategik ASEAN-GCC 2024–2028, yang berfungsi sebagai hala tuju untuk menginstitusikan perkongsian dan mengubahnya menjadi mekanisme praktikal sekali gus mampu mencapai kemajuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE