JAKARTA – Seorang pengantin perempuan di Takalar, wilayah Sulawesi Selatan menjadi perhatian pengguna media sosial apabila menerima duit hantaran sebanyak 500 juta rupiah (RM130,000) dan 216 kilogram (kg) beras, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial, salah seorang ahli keluarga pengantin perempuan dilihat memegang dulang hantaran berisi wang tunai.
“Masya Allah! Duit hantaran 500 juta rupiah, satu set barang kemas dan beras 216 kilogram,” kata keterangan video tersebut.
Menurut wanita yang memuat naik video itu, Banur Hadriyanti Rahayu, duit itu adalah wang panai daripada pengantin lelaki untuk isterinya.
“Ia adalah mengikut adat orang Makassar. Wang panai adalah sejumlah wang yang diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan sebagai sebahagian daripada tradisi perkahwinan tradisional khususnya dalam suku Bugis,” katanya.
Tambah Banur, pengantin perempuan yang merupakan rakannya, turut menerima beras seberat 216 kg dan satu set barang kemas sebagai hantaran.
Video itu menjadi tular menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Beruntung dia mendapat jodoh begitu. Semoga saya juga akan menerima nasib yang sama,” kata seorang netizen. – AGENSI