ALOR GAJAH – Pemandu bas henti-henti MY.BUS yang merempuh kenderaan pekerja subkontraktor sehingga menyebabkan seorang mangsa maut semalam, direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 29 Mei itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr.Teoh Shu Yee terhadap suspek berusia 37 tahun berkenaan.
Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan pekerja subkontraktor Muhammad Aiman Mohd. Farid, 23, maut, manakala rakan sekerjanya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah bas henti-henti, BAS.MY di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa yang memandu Perodua Kembara maut selepas tercampak keluar dari kenderaan.
Rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, mengalami luka-luka di badan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum kejadian mangsa yang dalam perjalanan dari arah Rembia ke AMJ telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan.
“Tiba-tiba sebuah bas henti-henti bewarna merah jambu yang dalam perjalanan dari Terminal Melaka Sentral ke Jalan AMJ telah memasuki bahu jalan dan merempuh kenderaan mangsa,” katanya.- KOSMO! ONLINE