PARIS – Bintang tenis Britain, Emma Raducanu bakal berdepan cabaran terbesar dalam kempen Terbuka Perancis 2025 apabila dijadual menentang juara empat kali, Iga Swiatek pada pusingan kedua petang esok.
Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan, namun Raducanu tetap cemerlang menundukkan Wang Xinyu dari China dalam pertarungan tiga set.
Kini, Raducanu berpeluang untuk ‘membalas dendam’ selepas dibelasah straight set 0-6, 1-6 dalam tempoh satu jam 10 minit oleh pemain No. 5 dunia itu di Terbuka Australia pada Januari lalu.
“Saya rasa permainan sekarang sudah banyak meningkat, dari segi fizikal dan juga mental. Sekarang saya dapat peluang sekali lagi untuk berlawan dengan pemain terbaik dunia.
“Saya tak sabar untuk turun ke gelanggang besar nanti. Apapun, saya perlu melakukan persiapan kerana saya rasa Iga sentiasa bermain sangat baik setiap kali kami bertemu,” kata juara Terbuka Amerika Syarikat 2021 itu.
Raducanu sebelum ini hanya sekali beraksi di pentas Roland Garros pada 2022, manakala edisi tahun lalu menyaksikan dia terpaksa menarik diri susulan pembedahan kedua-dua pergelangan tangan dan buku lali.
Swiatek, 23, yang kini memburu gelaran keempat di Roland Garros, mengekalkan rekod 22 kemenangan berturut-turut dalam kejohanan tersebut selepas mudah menundukkan Rebecca Sramkova dari Slovakia 6-3, 6-3.
Bagaimanapun, bintang Poland itu belum meraih sebarang gelaran musim ini dan prestasinya dilihat sedikit goyah sejak memenangi Terbuka Perancis tahun lalu. – AGENSI