LONDON – Pengurusan Nottingham Forest dijangka membuat keputusan drastik dengan memecat pengurus, Nuno Espirito Santo selepas kecewa dengan prestasi merudum pasukan pada penghujung kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebagai rekod, Forest telah mencipta sensasi antara tiga kelab terbaik EPL sehingga Mac lepas sehingga diramal bakal beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Namun, impak Forest semakin pudar apabila hanya menang satu perlawanan pada lima aksi terakhir sehingga menyaksikan The Garibaldis menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.
Pemilik kelab, Evangelos Marinakis difahamkan kecewa kerana posisi tersebut hanya melayakkan pasukan beraksi dalam kancah Liga Konferens Eropah berbanding kejohanan lebih berprestij seperti UCL.
Namun, bekas legenda Arsenal yang kini bergelar pemerhati bola sepak, Ian Wright berharap Forest tidak membuat keputusan terburu-buru kerana Santo adalah jurulatih terbaik yang mereka pernah miliki.
“Forest perlu bersabar kerana Santo memiliki keupayaan untuk membawa pasukan ke tahap lebih tinggi seperti yang dipamerkan musim ini. Dia mampu membantu kelab menamatkan saingan dalam kedudukan Top 4 musim depan.
“Namun, saya tidak terkejut jika pemilik kelab buat keputusan untuk pecat Santo kerana pengurusan pastinya kecewa dengan prestasi pada penghujung musim ini,” katanya. – AGENSI