KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk memperkasa sekretariat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemerkasaan BIMP-EAGA merupakan kesungguhan Malaysia menjadikan BIMP-EAGA sebagai model kerjasama serantau yang berpaksikan rakyat.
“Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 bermula dengan Persidangan BIMP-EAGA Ke-16. Dalam ucapan pembukaan, saya tekankan keperluan mempercepat integrasi ekonomi.
“Memudah cara perdagangan rentas sempadan dan membina rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara yang benar-benar menyatu. Semua ini mesti disokong penyelesaian digital yang inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, dalam mendepani ancaman perubahan iklim, pelaburan mesti diselaraskan dengan strategi hijau termasuk tenaga boleh baharu, sistem pengangkutan tahan iklim, pelancongan karbon sifar dan perlindungan ekosistem.
Terdahulu, Pesiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr ketika menyampaikan ucaptama Persidangan BIMP-EAGA Ke-16 berkata, inisiatif bersama dalam keterhubungan, perdagangan, keselamatan makanan dan tenaga, eko-pelancongan serta pembangunan hijau menunjukkan kemajuan ketara.
Beliau berkata, perkembangan positif itu mencerminkan komitmen negara ASEAN dalam merapatkan jurang pembangunan di sub-wilayah terbabit.
Katanya, kerjasama strategik BIMP-EAGA telah membuahkan hasil nyata sejak pelaksanaan Visi 2025 pada 2017 yang memberi manfaat terus kepada rakyat dan memperkukuh asas pembangunan serantau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE