KUALA LUMPUR – Kontroversi status perkahwinan pengaruh, Marissa Dania Hakim dan pasangannya, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rasyid selesai selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan pernikahan di Thailand pada 27 Disember 2023 sah dari segi hukum syarak.
Peguam syarie mewakili pasangan terbabit, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, berkata, pernikahan tersebut juga disahkan undang-undang di Malaysia dan pendaftaran perkahwinan boleh dilakukan anak guamnya selepas mendapat pengesahan Hakim Syarie, Wan Mohd. Najib Wan Hamat.
“Alhamdulillah, mahkamah sudah meluluskan permohonan mereka mengikut Seksyen 23(1A) iaitu pengesahan poligami di luar negara tanpa kebenaran.
“Pernikahan itu kini sudah mendapat pengesahan di Malaysia, seterusnya memerlukan anak guam saya mendaftarkannya secepat mungkin,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding kedua siasatan permohonan pengesahan pernikahan, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ammar menafikan dakwaan yang mengatakan kedua anak guamnya itu mengemukakan pendaftaran pernikahan hanya selepas lebih setahun bernikah di Songhkla susulan kehamilan Marissa.

“Oh tidak, apa yang saya jelaskan sebelum ini hanyalah contoh sahaja kerana untuk mana-mana pasangan pun, pendaftaran pernikahan sangat penting.
“Perkara membabitkan pengesahan pernikahan di bawah undang-undang negara mempunyai kaitan dengan isu perwalian, nasab, harta pusaka dan sebagainya,” ujarnya.
Pada 5 Mei lalu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah sama adalah bagi tujuan prosiding siasatan dan pengesahan pernikahan di luar negara.
Bagaimanapun, prosiding tersebut terpaksa ditangguh berikutan kesalahan teknikal yang berlaku ketika mengisi borang.
Isu membabitkan Marissa dan Aslam mula menyorot perhatian ramai selepas didakwa sudah berkahwin di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Lebih mencuri tumpuan, perkahwinan tersebut didakwa berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa Marissa mahupun isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan yang ketika itu mengerjakan umrah.
Ahmad Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Hud, 4, Nuh, 3, dan bayi perempuan yang kini berusia tiga bulan.
Manakala Marissa pernah kehilangan bayi yang dilahirkan secara pra-matang pada Ogos tahun lalu. – KOSMO! ONLINE