fbpx
RONALDO menjaringkan satu gol ketika tewas 2-3 kepada Al-Fateh dalam aksi terakhir Liga Pro Saudi semalam. - AFP

Legenda United ucap selamat tinggal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RIYADH – Cristiano Ronaldo memberi bayangan bakal meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Nassr selepas menulis kapsyen “bab ini telah berakhir” di media sosial, kurang sejam selepas menjaringkan gol dalam aksi terakhir Liga Pro Saudi musim ini semalam.

Penyerang veteran berusia 40 tahun itu bagaimanapun menegaskan, dia belum bersedia bersara dan menyatakan kariernya masih belum tamat sepenuhnya.

“Bab ini telah berakhir. Cerita? Masih ditulis. Saya bersyukur untuk segalanya,” tulisnya ringkas di laman Instagram miliknya.

Kontrak semasa Ronaldo dengan Al-Nassr dijangka tamat musim panas ini dan rundingan sambungan perjanjian baharu dilaporkan tergendala sejak beberapa minggu lalu.

Sepanjang dua setengah musim bersama kelab itu, Al-Nassr gagal menjulang sebarang trofi dan menamatkan musim ini 13 mata di belakang juara liga, Al-Ittihad.

Setakat ini, Ronaldo telah menjaringkan 99 gol dalam 111 perlawanan bersama Al-Nassr, sekali gus menghampiri sasaran peribadi 1,000 gol sebelum menamatkan karier profesionalnya.

Spekulasi mengenai destinasi seterusnya mula tersebar dengan Sporting Lisbon iaitu kelab zaman remajanya serta beberapa pasukan dari liga profesional Amerika Syarikat (AS) dikaitkan berminat mendapatkan khidmat Ronaldo.

Ronaldo dijangka berehat seketika sebelum menyertai skuad kebangsaan Portugal untuk aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah menentang Jerman pada 4 Jun nanti.

Legenda Real Madrid dan Manchester United itu dijangka membuat pengumuman lanjut mengenai masa depannya dalam beberapa minggu akan datang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI