fbpx

Lebih RM6 juta bunga ganja dirampas di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raizam (tiga kanan) menunjukkan dadah jenis bunga ganja yang dirampas pada sidang akhbar Ibu Pejabat JKDM WPKL, hari ini.

PETALING JAYA – Kira-kira RM6.08 juta dadah jenis bunga ganja berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKDM WPKL) bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @ Mustapha berkata, sebanyak enam rampasan telah dibuat membabitkan dadah organik itu di Pusat Kurier Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, bahan terlarang itu yang dipercayai berasal dari negara jiran disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui laluan haram.

“Semua parcel atau bungkusan yang dirampas adalah bagi tujuan eksport ke negara Eropah dengan menggunakan alamat pengirim di beberapa lokasi di Malaysia.

“Kebanyakkan parcel diikrarkan sebagai buku, pakaian dan alat permainan dan dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM WPKL, di sini hari ini.

Mengulas rampasan terbaharu, Raizam berkata, pihaknya berjaya mematahkan cubaan sindiket untuk mengeksport dadah jenis bunga ganja di Pusat Kurier KLIA pada 29 April lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas sejumlah bungkusan yang menyerupai bahan organik setelah diimbas.

Menurutnya, semakan mendapati semua dadah hanya dibungkus dengan kotak tanpa disembunyikan dengan rapi.

“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah bungkusan bahan organik disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 10.055 kilogram bernilai RM933,936.

“Modus operandi adalah membuat pengikraran tidak benar bagi mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.

Raizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI