NEW DELHI – Pihak berkuasa India mengeluarkan amaran selepas sebuah kapal membawa muatan minyak dan kargo berbahaya bocor sebelum karam di luar pantai negeri Kerala, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Kapal mengibarkan bendera Liberia dan membawa 640 kontena itu terbalik di perairan berdekatan bandar Kochi kelmarin tetapi 24 kru berjaya diselamatkan.
Pihak berkuasa bimbang tumpahan minyak, bahan api dan bahan berbahaya lain daripada kapal dan kargonya boleh membahayakan kesihatan penduduk dan hidupan marin.
Sebahagian kargo pula dilaporkan telah hanyut ke arah pantai.
“Memandangkan tompokan minyak boleh sampai ke mana-mana sahaja di sepanjang pantai di Kerala, amaran telah dikeluarkan,” kata kenyataan pejabat ketua menteri negeri tersebut.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk tinggal berhampiran laut supaya tidak menyentuh sebarang kontena atau minyak yang mungkin hanyut ke pantai.
Mereka juga meminta kapal nelayan mengelak daripada berada terlalu dekat dengan lokasi kapal karam itu. – AGENSI