fbpx

Kerajaan belum dimaklumkan pengusiran 63 rakyat Malaysia di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Naim ketika menghadiri Majlis Perasmian Pavilion al-Falah sempena PBAKL 2025 disini, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan pengusiran 63 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Arab Saudi ekoran tidak memiliki visa haji yang sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Jabatan Haji Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun yang kini berada di tanah suci bagi memantau urusan jemaah haji Malaysia.

“Saya sudah bercakap dengan pihak pengurusan Tabung Haji di tanah suci, dan setakat ini tiada aduan rasmi diterima.

“Namun, saya ingin mengingatkan supaya semua jemaah sentiasa patuh pada peraturan yang telah ditetapkan,” katanya pada pelancaran Pavilion al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Na’im turut menegaskan bahawa kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi boleh mengundang akibat serius termasuk menjejaskan kuota haji negara pada masa hadapan.

“Jangan sebab kedegilan kita, jemaah haji lain pula menerima kesan. Sebelum ini, 14 negara pernah dikenakan larangan selepas melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Jika ditangkap, dendanya sangat tinggi dan boleh dikenakan sekatan masuk ke Arab Saudi selama 10 tahun,” katanya.

Mereka yang ditahan melanggar peraturan boleh dikenakan denda antara 10,000 hingga 50,000 Riyal Saudi (anggaran RM22,000 hingga RM113,000).

Pada 25 Mei lalu, media tempatan dan antarabangsa melaporkan bahawa seramai 63 rakyat Malaysia telah diusir dari Makkah ke Jeddah selepas didapati tidak memiliki visa haji yang sah. Jumlah itu direkodkan oleh pejabat perwakilan Malaysia di Arab Saudi sejak 29 April lalu hingga Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI