SEBERANG PERAI – Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di Melaka yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki berstatus suami orang direhatkan daripada tugas mengajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, guru tersebut masih menjalankan tugas-tugas sebagai kakitangan awam.
“Guru itu perlu berada dalam proses siasatan dan kita akan memastikan tiada gangguan dalam siasatan. Jadi, kita keluarkan guru itu dari sekolah supaya siasatan boleh dilakukan dengan lebih mudah.
“Dalam erti kata lain, direhatkan daripada (tugas) mengajar tapi masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam sementara siasatan diteruskan,” katanya selepas merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM anjuran Farm Fresh Berhad peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap di sini, hari ini..
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes seorang guru wanita yang dipercayai menjalin hubungan sulit dengan juruelektrik yang juga suami orang.
Ini selepas perbuatan tidak bermoral guru wanita itu terbongkar menerusi beberapa tangkap layar yang memaparkan perbualan pasangan tersebut sehingga tular di media sosial.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memberitahu, pihaknya mengambil serius perkara dilaporkan terutama berkaitan soal integriti, akhlak dan kelakuan guru.
“Sama ada ia (isu) dilakukan secara rasmi atau viral (tular), kita ambil serius. Kita ambil tanggungjawab untuk memastikan guru-guru mematuhi integriti dan etika keguruan yang ditetapkan KPM,” katanya. – KOSMO! ONLINE