fbpx
Gopi yang pernah menyarung jersi kebangsaan kini berniaga popia carbonara untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Gol dah masuk, gaji masih tak nampak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu tunggakan gaji dalam kalangan pemain bola sepak bukanlah isu baharu, malah telah menjadi ‘barah’ yang merosakkan sistem liga tempatan selain menjejaskan periuk nasi ramai individu berbakat besar.

Lebih malang lagi apabila kelab yang diwakili oleh pemain-pemain ini turut tidak dibenarkan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan mereka hilang punca rezeki.

Situasi ini menyebabkan ada pemain yang nekad bersara awal sebagai pemain bola sepak profesional semata-mata mahu mencari rezeki lain bagi menampung keperluan keluarga selain untuk tujuan membayar hutang.

Salah seorang pemain yang melalui keperitan hidup gara-gara tidak dibayar gaji ialah bekas pemain kelab Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers), Mohammad Gopi Rizqi, 36, apabila tunggakkan gaji yang dihadapinya sehingga kini masih tiada khabar berita.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tunggakkan gaji lebih RM30,000 yang ‘sangkut’ dibayar kelab itu ibarat bayang-bayang yang belum tahu apakah kesudahannya.

“Bulan ini sudah lebih 10 bulan masalah gaji yang ‘tersangkut’ dan tidak dibayar oleh kelab.

“Bila kita tanya, pihak pengurusan kata orang ini, orang ini kata bukan semasa mereka. Memang tidak ada kesudahan.

“Kita tengok tahun depan, kalau mereka (KL Rovers) main lagi Liga M, bermaksud mereka memang tak nak bayar gaji kami yang tertunggak. Memang politik dalam bola sepak ini susah, pergunakan pemain profesional demi kepentingan sesuatu,” dakwanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagi meneruskan kelangsu­ngan hidup, bapa dua anak itu kini mencari rezeki dengan menjual popia carbonara.

Mohamad Gopi berkata, dia membantu usaha yang dilakukan isterinya, Siti Norhidayah Roslan, 38, yang sebelum ini menjual kuih itu secara dalam talian bagi mencari sumber pendapatan tambahan.

“Ada tiga jenis popia carbo­nara yang dibuat iaitu carbonara ayam, daging dan campuran yang dipasarkan di sekitar Johor Bahru dan Pontian.

“Saya kini menumpukan perhatian dengan membuat popia carbonara bersama isteri setelah tidak lagi menjual air balang se­pertimana pada bulan Ramadan lalu,” katanya.

Mengenai kerjaya bola sepak, Gopi memberitahu, dia kini bermain dalam Liga Johor bersama Vigor FC dengan posisi sayap.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, tunggakan gaji yang berlarutan beberapa bulan memaksa Azalinullah Alias untuk bersara awal biarpun baru berusia 29 tahun.

Azalinullah yang sebelum ini merupakan pemain tengah Perak FC memilih untuk mengantung but dan pulang ke negeri ini yang merupakan kampung halamannya.

“Saya nekad menamatkan kontrak lebih awal pada bulan Oktober tahun lalu setelah tidak tahan untuk bergelut dengan tekanan kewangan.

“Saya bertanggungjawab untuk menyara keluarga ketika pihak pengurusan kelab (Perak FC) pada masa itu seakan tiada penyelesaian segera berhubung tunggakan gaji,” katanya yang memilih Pantai Batu Burok sebagai lokasi berniaga.

Selain Perak FC, Azalinullah pernah berkhidmat untuk kelab T-Team, Terengganu FC dan ­Petaling Jaya Rangers.

Azalinullah berkata, biarpun menggadaikan bakatnya bermain bola sepak, keputusannya bersara dan balik kampung dianggap tepat memandangkan Perak FC antara kelab yang telah disahkan tidak akan bertan­ding dalam siangan Liga Malaysia musim depan.

Katanya, dia kini membuka gerai menjual makanan berasaskan mi segera dan burger di Pantai Batu Burok bagi mencari rezeki.

“Saya memang minat berniaga tetapi dahulu tiada masa kerana terikat dengan jadual padat sebagai pemain bola sepak profesional.

“Buat masa ini, berniaga kecil-kecilan ini usaha saya menyara keluarga. Begitupun, kalau ada mana-mana kelab bola sepak tawar kontrak menyakinkan, saya tidak tolak,” katanya.

Di Ipoh, Perak, seorang lagi pemain Perak FC, Firdaus Saiyadi mengakui ada rakan sepasukan yang kini berusaha mendapatkan pasukan baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, dia yang bermain di posisi penyerang berkata, laluan lebih sukar buat pemain-pemain muda Perak FC terutama daripada skuad Piala MFL kerana saingan bawah 23 tahun itu tidak diteruskan pada musim 2025/2026.

“Peluang untuk mereka lebih terhad kerana musim depan tiada lagi pertandingan Piala MFL. Kini mereka perlu bersaing sengit untuk mendapat pasukan baharu. Untuk pemain senior, peluang tawaran lebih baik kerana sudah dikenali,” katanya yang menjadi antara bintang Perak menjuarai Piala Malaysia tahun 2018.

Selain pemain, isu tunggakan gaji turut dirasai barisan kejurulatihan termasuk Yusri Che Lah yang tetap mahu meneruskan kariernya sebagai jurulatih de­ngan mencari kelab baharu.

Menurut Yusri, setakat ini dia belum dirisik oleh mana-mana pasukan, selepas hampir sebulan Perak FC mengumumkan tidak meneruskan saingan dalam Liga Super 2025/26.

“Saya masih ingin aktif dalam menguruskan pasukan. Setakat ini, saya free (bebas) lagi. Belum ada pasukan,” katanya.

Yusri memulakan karier kejurulatihan bersama Perlis pada tahun 2014, kemudian berhijrah ke Felcra dan Kelantan sebelum bersama Perak pada tahun 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN