MONACO – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc mendedahkan kestabilan jentera ketika melalui selekoh dan laluan yang tidak rata menjadi faktor utama mereka berjaya mencari penamat terbaik pada perlumbaan Grand Prix Monaco.
Perlumbaan kelmarin itu menyaksikan Leclerc memulakan saingan di kedudukan kedua dan menamatkan perlumbaan di posisi yang sama sekali gus membolehkan Ferrari meraih kedudukan podium buat kali kedua musim ini.
Pelumba dari Monaco itu minggu lalu memberi gambaran kemungkina Ferrari berdepan kesukaran di litar jalanan tersebut apabila jentera SF-25 memiliki kelemahan terutama di bahagian selekoh perlahan.
Biarpun gagal menyamai pencapaian selaku juara seperti musim lalu, Leclerc percaya podium kedua masih lagi mampu dibanggakan ketika jentera mereka masih belum mencapai tahap optimum.
“Saya masih gembira dengan kedudukan kedua ketika kami sedang mengharungi tempoh sukar musim ini. Ia adalah keputusan positif buat keseluruhan pasukan.
“Ketika tiba di Monaco, jangkaan kami sangat rendah kerana prestasi jentera di selekoh perlahan sangat tidak bagus untuk musim ini. Namun, saya terkejut apabila kami sangat baik di selekoh dan laluan tidak rata.
“Ia banyak membantu kami untuk merapatkan jurang. 18 mata yang saya raih dan 10 mata disumbangkan Lewis (Hamilton) sangat berharga untuk pasukan dalam situasi kami ketika ini,” jelasnya. – AGENSI