KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani secara rasminya bergelar pasangan No.1 dunia selepas kedudukan ranking dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Bekas juara Terbuka China itu memintas kedudukan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selepas pasangan Denmark berkenaan gagal mempertahankan gelaran pada kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menjadi beregu lelaki pertama negara mencapai kedudukan tersebut selepas kali terakhir dilakukan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong antara November 2016 dan Mac 2017.
Sebagai rekod, beregu yang diberi julukan DinFei itu mengikuti jejak langkah gandingan lain, termasuk Razif Sidek-Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi No.1 dunia.
Turut memperbaiki kedudukan adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang naik satu anak tangga ke kedudukan No.7 dunia selepas memenangi Malaysia Masters manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga ketiga.
Sze Fei-Izzuddin kini dalam persiapan bagi menghadapi pusingan pertama Terbuka Singapura menentang beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang dijadualkan berlangsung esok. – KOSMO! ONLINE