PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu iaitu melibatkan bekas pemilik syarikat dan bekas ketua pegawai kewangan ekoran disyaki mengemukakan butir matan palsu kira-kira RM8.1 juta.
Difahamkan, tuntutan butir matan palsu itu melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.
Perintah reman selama sehari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti antara tahun 2019 hingga 2021.
“Selain itu, siasatan juga memfokuskan kepada tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah yang telah berlaku pada Januari hingga Oktober 2022 dan juga penerimaan wang rasuah,” katanya, tadi.
Sumber berkata, penyiasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan-kesalahan jenayah lain di bawah kanun keseksaan serta kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, menerusi Op Flora dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 11 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan semalam, SPRM telah membekukan 76 akaun bank terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM1.68 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE