RIYADH – Arab Saudi menafikan laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa larangan jualan arak yang telah lama wujud di negara berkenaan akan ditarik balik, lapor portal berita Gulf News semalam.
Spekulasi pemansuhan larangan jualan minuman keras itu bermula dengan laporan di laman blog dan saluran berita tidak rasmi, minggu lalu.
Beberapa saluran berita antarabangsa kemudian memetik laporan tersebut.
Laporan itu menyatakan bahawa Arab Saudi merancang membenarkan penjualan alkohol secara terkawal semasa Pertandingan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 2034.
Bagaimanapun, sumber maklumat ini tidak dikenal pasti.
Laporan itu mencetuskan perbincangan netizen di Arab Saudi.
Arab Saudi memulakan cita-cita tinggi untuk memajukan sektor pelancongan negara itu sebagai sebahagian daripada rancangan Wawasan 2030 untuk mencapai kepelbagaian sumber ekonomi. – AGENSI