SERDANG – Seramai 18 daripada 58 individu yang ditahan didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Puchong Jaya, awal pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, serbuan kira-kira pukul 12.45 pagi itu dijalankan sepasukan polis daripada cawangan risikan serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.
“Hasil serbuan, kita berjaya menahan 58 individu terdiri daripada 18 lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk 39 wanita warga asing.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Arif berkata, pemeriksaan lanjut mendapati seramai 18 individu yang ditahan positif dadah jenis amohetamine, methamphetamine dan benzo.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE