KUALA LUMPUR – Kerajaan Timor-Leste menyatakan keyakinannya bahawa negara itu akan berjaya melengkapkan semua instrumen undang-undang yang diperlukan untuk menjadi anggota penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, pihaknya akan melakukan sebaik mungkin untuk melayakkan diri dalam senarai anggota ASEAN termasuk memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Yes! Yes! Yes! Because everyone support. Its was increadible (Ya! Ya! Ya! Kerana semua pihak menyokong. Ia memang luar biasa).
“You know why? (Anda tahu kenapa?) because we are small country alone there (kerana kami negara kecil bersendirian di sana),” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Sebelum ini, ASEAN memberi gambaran bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh blok serantau itu, namun peranan perlu segera dimainkan oleh negara tersebut untuk memenuhi segera instrumen undang-undang yang ditetapkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, ketika ini, banyak lagi instrumen undang-undang perlu dilaksanakan Timor-Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN. – KOSMO! ONLINE