fbpx
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam mencuba sendiri peralatan cerapan yang digunakan Balai Cerap Kusza ketika cerapan anak bulan Ramadan Mac lalu.

UniSZA peneraju pendidikan ilmu falak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“PADA awalnya saya tidak pernah berminat dengan ilmu falak kerana kurang pendedahan dalam bidang tersebut, lebih-lebih lagi ketika di sekolah.

“Pun begitu, setelah saya melangkah ke menara gading, ia bertukar daripada langsung tidak berminat kepada sebaliknya.”

Itu pengakuan Madihah Mohamad Naim, pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kepada K-Kampus ketika ditemu bual.

Menurut Madihah, 26, dia mula ‘berjinak-jinak’ dengan ilmu falak di UniSZA semasa mengambil subjek falak yang merupakan salah satu mata pelajaran elektif.

“Perasaan ingin tahu tentang ilmu falak semakin tinggi dalam diri kerana ia merupakan satu perkara baharu yang saya belajar.

“Saya mula sedar betapa penting dan luasnya peranan ilmu falak dalam kehidupan seharian terutama sebagai umat Islam,” kata anak jati negeri Jelapang Padi itu.

Berkongsi lanjut, sebagai generasi muda, Madihah berasakan ilmu falak itu sebenarnya menarik, cuma ramai yang tidak tahu dan sedar mengenainya.

Jelasnya, ia mungkin kerana kurang pendedahan yang sesuai dengan jiwa remaja sekali gus menyifatkan ilmu falak hanya tentang kiraan dan teori walhal pada hakikatnya tidak.

“Falak merupakan satu ilmu yang menarik jika didedahkan dengan cara yang betul. Sebagai contoh, aktiviti melihat anak bulan, menyaksikan gerhana dan memahami pergerakan planet serta sebagainya boleh dijadikan sebagai program di luar bilik kuliah yang begitu menyeronokkan.

“Kemudian dengan memberikan pendedahan tentang teknologi moden seperti aplikasi falak, teleskop digital dan lain-lain lagi turut dapat menarik minat generasi muda masa kini,” katanya.

Malah, peralatan dan teknologi yang diaplikasikan di Balai Cerap KUSZA (nama lama UniSZA) yang beroperasi di Kampung Merang, Terengganu merupakan antara yang tercanggih di Pantai Timur.

Bahkan, dengan status UniSZA sebagai satu-satunya universiti awam yang memiliki balai cerap dan kini telah beroperasi lebih tiga dekad sejak tahun 1992, UnisZA sememangnya mempunyai kepakaran dan menjadi peneraju bidang itu.

Bermula tahun ini juga, UniSZA dengan bangganya menjenamakan semula sebuah program jangka pendeknya, Sijil Falak kepada Sijil Profesional Falak yang ditawarkan kepada pelajar dan sesiapa sahaja yang berminat dengan astronomi.

Ditanya mengenai minat dan perancangan dalam ilmu falak, Madihah berkata, jika dia diberikan peluang dan kesempatan untuk mengikuti program Sijil Profesional Falak sebagaimana Sijil Falak yang diambil sebelum ini, dia lantas berbuat demikian.

Katanya, hal ini kerana dia boleh menambah ilmu pengetahuan dalam kehidupannya dan berkongsi semula kepada orang lain serta juga generasi akan datang.

“Banyak sebenarnya ilmu yang akan diperoleh ketika mengikuti program sijil yang ditawarkan sekali gus akan membuka mata ramai mengenai keseronokan serta keunikan ilmu falak.

“Sebagai pelajar dan peserta yang mengikuti program berkaitan dunia astronomi dan ilmu falak, saya berharap agar lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada generasi muda untuk mendalaminya.

“Ilmu falak bukan sekadar warisan keilmuan Islam yang agung, malah ia juga membuka jendela kepada pemahaman yang lebih luas tentang alam ciptaan Allah,” tuturnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA yang juga pakar astronomi, Prof. Madya Dr. Roslan Umar menyifatkan Sijil Profesional Falak merupakan sijil latihan berkaitan dengan ilmu falak, penggunaan alatan falak dan praktikal falak.

Menurutnya, sijil ini telah bermula dari tahun 90-an lagi dan kini dijenamakan semula kepada nama baharunya iaitu Sijil Profesional Falak.

“Objektifnya adalah untuk memberi pendedahan kepada orang awam serta kepada agensi kerajaan mengenai kepentingan ilmu falak dalam kehidupan serta bagaimana proses penentuan anak bulan, arah kiblat serta takwim dilakukan di Malaysia.

“Menurutnya, Sijil Profesional Falak membuka peluang kepada semua untuk mendalami ilmu falak secara profesional dan praktikal yang dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman dengan modul yang relevan serta komprehensif serta sijil profesional yang diiktiraf.

“Tempoh kursus adalah selama lima bulan yang mana dalam sebulan akan diadakan dua kali sesi secara fizikal dan dalam talian,” katanya.

Balai cerap universiti ini yang terletak di kedudukan strategik turut menjadi tarikan pelancongan.

Diaju mengenai keunikan dan kelebihan program tersebut, Roslan memberitahu, peserta akan mendapat pengiktirafan daripada pakar-pakar falak sama ada dari sudut agama dan profesional.

Menerusinya, peserta akan dilatih untuk melakukan pengiraan hisab (waktu solat, arah kiblat dan anak bulan) serta cerapan anak bulan yang telah mengikut standard Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan pejabat mufti bagi penentuan penampakan anak bulan.

“Di samping itu, peserta akan dapat pengiktirafan dari segi penyebaran ilmu serta kelayakan dalam bidang pendidikan seperti penceramah serta boleh mengambil upah bagi mengukur arah kiblat untuk membantu tugasan di pejabat mufti,” katanya.

Tambah Roslan, orang ramai terutama anak muda pada ketika ini kurang pengetahuan mengenai falak disebabkan mereka kurang minat kepada pendidikan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurutnya, falak bukan sahaja merangsang minat mereka dalam sains, fizik dan matematik, tetapi juga mendorong perkembangan teknologi seperti teleskop, satelit dan pengimejan.

Ditebak mengenai teknologi dan peralatan yang digunakan Balai Cerap di bawah seliaannya, Roslan berkata, pada masa sekarang UniSZA dilengkapi dengan pelbagai teleskop iaitu celestron 14 infi dan Ritchey–Chretien (RC) 16 inci.

“Di balai cerap juga mempunyai stesen pemantauan meteor, stesen pemantauan bagi cuaca (weather station) 24 jam serta sistem hybrid observation technique of hilal (Hotoh) bagi proses cerapan anak bulan dan peralatan astronomi radio pada frekuensi rendah bagi memantau aktiviti matahari.

Perlu diakui, di samping balai cerap itu digunakan bagi tujuan penyelidikan di universiti, ia juga merupakan antara hab pelancongan di Terengganu.

“Hal ini kerana, balai cerap ini merupakan antara lokasi yang menarik disebabkan oleh kedudukannya yang strategik iaitu di atas bukit dan berhampiran dengan pantai.

“Selain itu, balai cerap kami merupakan balai paling gelap di Semenanjug Malaysia selain berada berdekatan dengan jeti bagi pelancong yang ingin melancong ke Pulau Redang.

“Ia sekali gus menjadikan balai cerap kami sebagai pusat atau destinasi tambahan di dalam pakej pelancongan sebelum mereka meneruskan ke tujuan asal,” katanya.

Sementara itu, pegawai penyelidik di Balai Cerap UniSZA, Amirul Hazim Kamarulzaman berkongsi, minatnya dalam astronomi bermula sejak dari sekolah rendah apabila mula belajar tentang sistem suria.

“Disebabkan sekolah saya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Mohd. Said, Seremban mempunyai balai cerap, maka saya kembangkan lagi minat dalam astronomi dengan terlibat aktiviti-aktiviti yang dijalankan di situ.

“Seterusnya saya melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Fizik Gunaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan turut mengikuti Persijilan Sijil Tinggi

Falak Syarie di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah Jakim sebelum diterima masuk di ESERI UniSZA sebagai pegawai penyelidik dalam bidang astronomi dan falak syarie,” katanya.

Ditanya mengenai skop kerjanya di balai cerap, anak kelahiran Negeri Sembilan ini memberitahu, antara peranannya adalah merancang aktiviti pembudayaan ilmu di balai cerap yang merangkumi bengkel, seminar dan kelas tentang astronomi dan falak syarie.

Jelas Amirul Hazim, 28, dia juga menjalankan kajian dan membantu felo penyelidik ESERI mengenai bidang falak selain memastikan peralatan dan aset di balai cerap berada dalam keadaan baik.

Mengulas mengenai program Sijil Profesional Falak, menjadi kewajipan buat para peserta mengenali balai cerap serta instrumentasi digunakan dalam ilmu falak.

Ia termasuk penggunaan peralatan falak seperti teleskop, rubuk mujayyab, jam matahari dan banyak lagi.

“Manfaat menyertai Sijil Profesional Falak dapat mendidik dan meningkatkan kemahiran para peserta bukan sahaja setakat teori tetapi juga praktikal ilmu falak.

“Di akhirnya, kita ingin melahirkan golongan profesional falak yang mempunyai kemahiran dalam ilmu falak untuk manfaat dalam kehidupan seharian mahupun memenuhi keperluan perjawatan,” katanya yang merupakan salah seorang daripada empat tenaga pengajar yang dilantik.

Tambahnya, penyertaan menggalakkan dalam kalangan peserta muda serta dari negara luar (Brunei dan Singapura) memberikan gambaran betapa program Sijil Profesional Falak ini mempunyai keperluan khususnya di Nusantara ini.

“UniSZA seharusnya menjadi contoh dan hab pendidikan ilmu falak kerana miliki fasiliti yang lengkap, tenaga pengajar mahir dan keupayaan untuk menjalankan program di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN