PETALING JAYA – “Bye (selamat tinggal) rumah, mulakan hidup baharu kita empat beranak.”
Demikian luahan pencipta kandungan TikTok @suri.diary yang mencuri perhatian ramai selepas memuat naik video menggambarkan permulaan fasa baharu kehidupannya bersama tiga anak kecil.
Menerusi video berdurasi 16 saat itu, Suri seolah-olah memberi bayangan tentang perpisahannya dengan suami.
Perkongsian itu mengundang reaksi sebak dalam kalangan pengikutnya, memandangkan Suri sebelum ini dikenali dengan kandungan bertemakan ‘husbento’ yang mana beliau kerap berkongsi resipi dan menyediakan bekalan makanan untuk suami ke tempat kerja.
“Tiada lagi husbento, kidsbento saja lepas ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut meluahkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa wanita itu.
“Sediakan bekal untuk suami pun dah cukup manis, tapi masih dikhianati. Sedihnya,” luah pengguna @Yasmine_sunny.
“Ke mana hilangnya kata-kata ‘ikat suami dengan air tangan isteri’?” soal @Syahida Eida.
“Mungkin ada yang koyakkan peket sos bento tu kat pejabat?” sindir @Rose. -KOSMO! ONLINE