TUJUH tahun selepas disiarkan di skrin televisyen, kisah adaptasi novel, Gantung diangkat ke layar perak dengan kesinambungan jalan cerita yang menjanjikan kejutan serta menyentuh emosi.
Masih mengekalkan barisan pelakon asal seperti Hafreez Adam, Brandon Salim dan Ikmal Amry, gabungan wajah lama dan baharu dijangka menyuntik elemen segar untuk naskhah kali ini.
Diberikan judul Gantung: Musketeer Code, filem terbitan Neddo Works itu memberi pelbagai pengalaman menarik buat semua pelakon.
Hafreez atau nama lengkapnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 35, berkata, wataknya dalam filem itu masih mengekalkan identiti asal, namun suasana penggambaran kali ini cukup mengesankan.
“Dari segi karakter, untuk Gantung drama bersiri dan filem masih sama cuma plot yang dikembangkan membuatkan saya berdepan cabaran berbeza.
“Malah, bukan sahaja cerita yang lebih berkembang, persekitaran penggambaran bagi mengupas kesinambungan kisah turut menggandakan kesan dramatik.
“Memang berbeza tetapi bagi yang tidak pernah ikuti versi drama bersiri yang disiarkan pada 2018 masih dapat menghayati jalan cerita,” katanya kepada HibGlam.

Selektif dalam lakonan
Mengulas perjalanannya dalam bidang lakonan, Hafreez berkata, kini dia lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon selain ingin mencuba watak di luar kebiasaannya.
“Dari segi peranan kalau boleh saya mahu cuba sesuatu yang berbeza sebab saya rasa macam bila berlakon watak itu sudah stereotaip seperti anak orang kaya, ada masalah cinta dan sebagainya.
“Saya teringin buat watak aksi ganas, psiko dan gelandangan tetapi, kita tak banyak karya yang mengetengahkan karakter sedemikian,” luahnya.
Katanya lagi, pada tahap ini, dia menekankan kepentingan untuk seimbangkan masa antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Hal ini kerana, Hafreez mengakui, terdapat kekangan masa bersama keluarga akibat jadual kerja yang padat sejak berlakon.
“Saya fikir macam ini, kita bekerja untuk siapa sebenarnya? Takkan kita hidup untuk bekerja sahaja?
“Kalau esok kita mati, keluarga dapat duit, tapi kita tiada kenangan. Jadi, itu apa yang saya fikir supaya saya tidak menyesal pada kemudian hari.
“Selektif maksud saya dari segi bayaran yang diberikan setimpal dengan kerja yang ditawarkan,” ujarnya.
Regu
Sementara itu, teman gandingannya, Shazia Rozaini pula berkata, dirinya tidak memilih watak mahupun tawaran disebabkan masih baharu dalam dunia lakonan.
“Tapi untuk saya memilih itu, saya rasa belum sesuai, belum waktunya kerana banyak lagi perkara saya perlu pelajari dan mantapkan.
Shazia Rozaini atau nama lengkapnya Nurul Shazia Mohd. Rozaini, 33, yang memegang watak Farah meluahkan keterujaan dapat beraksi meskipun ini kemunculan pertamanya.
“Ini adalah pengalaman pertama saya di layar perak sekali gus memberi perspektif baharu terhadap karier lakonan saya.
“Saya ambil ini sebagai tanggungjawab yang besar selain memenuhi harapan peminat novel dan siri yang sudah lama mereka tunggu bertahun-tahun,” katanya.
Tambahnya, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang membawa watak berbeza itu dan melihat projek ini sebagai pengalaman yang sangat istimewa.
Filem ini turut dijangka mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan peminat generasi muda yang mungkin belum pernah mengikuti versi siri terdahulu.
Gantung: Musketeer Code dijadualkan ditayangkan di pawagam bermula 4 Jun ini. – KOSMO! ONLINE