PETALING JAYA – Banyak institusi kewangan telah menyediakan pelbagai dana pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan dan ia memberi banyak manfaat kepada usahawan untuk membolehkan mereka mencapai misi masing-masing.
Salah satu produk pembiayaan yang popular adalah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) di bawah Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) dan Rural Capital Berhad (RCB) bertindak sebagai ejen pelaksananya.
Syarikat yang mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut adalah Shahroos Enterprise yang dibangunkan oleh Shah Affandey Roos Affande yang terlibat dalam bidang penghasilan papan iklan.
Beliau yang sebelum ini terlibat dalam bidang pemasaran selepas tamat tingkatan lima tekad membuka perniagaan dengan bermodalkan RM3,000 kerana tidak ramai usahawan bumiputera terlibat dalam perniagaan tersebut.

“Saya meminjam daripada ahli keluarga untuk dijadikan modal permulaan dan ditambah dengan simpanan sedia ada. Pada awalnya risau juga sebab bidang ini kebanyakannya dikuasai oleh kaum bukan bumiputera.
“Tetapi saya nekad juga meneroka bidang ini dan akhirnya ia membuahkan hasil daripada apa yang saya laksanakan sendiri iaitu daripada peringkat awal, reka bentuk tempahan sehingga proses pemasangan dan penghantaran ke pelanggan, kini kami mampu menggaji 15 pekerja,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.
Shah Affendy berkata, melalui pembiayaan patuh syariah daripada SPED itu, syarikat memperoleh dana sebanyak RM150,000 pada tahun 2023 dan ia digunakan untuk membeli beberapa mesin bagi memudahkan urusan mereka bentuk dan menyiapkan papan iklan.
“Kalau tiada bantuan daripada SPED-RCB mungkin saya tidak mampu untuk membeli tiga buah mesin dan sekali gus dapat menjimatkan masa dan memaksimumkan pengeluaran.
“Sebelum ini, saya ada memohon pinjaman dari beberapa buah institusi kewangan, namun malangnya kesemua mereka seperti tidak yakin dengan syarikat saya.
“Tetapi dengan SPED-RCB ini, saya cuma memohon sekali sahaja, sudah pun lulus. Nak mohon pun senang hanya perlu beberapa dokumen sahaja dan saya hanya perlu bayar bayaran bulanan yang rendah untuk enam bulan pertama,” katanya yang mengusahakan syarikat terbabit bersama isterinya, Siti Norwani Dzulkifli.
Mengulas lanjut, Shah Affendey berkata, beliau berazam untuk mengembangkan lagi perniagaannya dan dalam masa sama bercita-cita untuk membuka sebuah kilang sendiri.
“Sekarang ini, kami beroperasi di kawasan lot komersial di sini yang mana sehingga mampu menimbulkan tidak selesa kerana mengganggu perniaga lain yang berhampiran.
“Mungkin penghujung tahun ini kami berpindah ke kawasan industri yang lebih selesa,” katanya sambil memberitahu pembiayaan kedua bersama SPED-RCB sebanyak RM120,000 telah diluluskan.

Selain itu, seorang usahawan berasa bertuah dan bersyukur kerana dapat mengembangkan perniagaannya melalui bimbingan dan modal pengembangan daripada RCB.
Pengurus Adl Jaya Resources, Mohamed Adlee Nordin, 34, yang sebelum ini memulakan perniagaan dengan modal hanya RM6,000 pada tahun 2017 telah mengembangkan penyediaan perkhidmatannya yang membekalkan peralatan ke hospital.
Kejayaan itu dicapai hasil suntikan modal tambahan yang disertainya pada tahun 2023 daripada SPED dan RCB sebagai ejen pelaksana.
Jelasnya, dengan suntikan modal kira-kira RM100,000 melalui pembiayaan daripada SPED-RCB, ditambah dengan kemudahan Muqasah (pemberian 30 peratus geran kerajaan), kini perkhidmatan syarikatnya itu bukan sahaja digunakan oleh hospital swasta, malah turut digunakan di hospital kerajaan.
“Kini saya mampu membekalkan peralatan dan servis ke beberapa buah hospital di utara tanah air dan juga Lembah Klang.
Namun katanya, berbekalkan pengalaman dan bidang pengajiannya dalan jurusan kejuruteraan perubatan, beliau beranikan diri untuk bersaing dengan syarikat lain.
“Apa yang menjadi kelebihan kami adalah kami bukan sahaja menyediakan peralatan yang berkualiti, tetapi servis selepas pembelian dan juga waranti.
“Dengan semua nilai tambah itu, pelanggan akan mendapat servis dan perkhidmatan yang lebih terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Adlee melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada RCB kerana memperkenalkan pembiayaan ini serta prosesnya sangat mudah dan tidak sampai sebulan pembiayaan beliau telah diluluskan.
Katanya, jika dibandingkan dengan pembiayaan institusi lain, ia agak sukar dan prosedurnya juga akan memakan masa agak lama selain memerlukan banyak dokumen.
“Bagi saya pembiayaan SPED-RCB ini paling mudah sehingga saya berpeluang memohon semula selepas selesai pembiayaan pertama serta tidak perlu dokumen banyak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE