PETALING JAYA – Seorang pemandu teksi warga emas meluahkan rasa kecewa selepas beberapa kali menjadi mangsa penipuan oleh individu yang didakwa sebagai pelajar universiti.
Menerusi satu hantaran video di TikTok oleh @Dila_dilala, pemandu berkenaan mendedahkan modus operandi pelajar terbabit yang berpura-pura mengimbas kod respon pantas (QR) untuk pembayaran tambang, namun sebenarnya langsung tidak membuat sebarang bayaran.
“Pak cik cakap dia tak kisah pun kalau betul-betul tak ada duit. Orang belajar tinggi-tinggi, tapi sanggup menipu,” katanya dalam video tersebut.
Menurutnya, pemandu teksi berkenaan hanya memperoleh pendapatan kecil setiap hari, lebih-lebih lagi dengan persaingan perkhidmatan e-hailing yang semakin meningkat.
“Sedih sebab kesian orang tua cari duit nak makan sikit-sikit, kau boleh menipu,” katanya.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan netizen yang rata-rata mengecam tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Jangan cakap pak cik teksi, mak cik kafe pun menangis depan kitaorang ramai pelajar tipu beli makanan. Rugi RM600 sehari,” kata @Miraehannah.
“Semoga orang yang menipu ini gagal dalam peperiksaan mereka,” kata @Rainey977.
“Selalu jumpa yang acah bayar tapi bila kita tahu dia tipu, dia la yang buat muka macam kita yang salah sebab dapat tahu menipu,” kata @Syaeyrahilmi. – KOSMO! ONLINE