ZURICH – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo masih berpeluang untuk beraksi di Piala Dunia Kelab walaupun kelabnya, Al-Nassr tidak layak untuk bermain di kejohanan itu, bulan depan.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, penganjuran kejohanan yang akan dilangsungkan di Amerika Syarikat ini memiliki sedikit kelainan khususnya membabitkan hal perpindahan pemain.
“Cristiano Ronaldo mungkin akan mendapat peluang bermain di Piala Dunia Kelab. Terdapat perbincangan dengan beberapa kelab sekiranya ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Ronaldo.
“Masih ada beberapa minggu lagi sebelum kejohanan ini bermula dan pasti ia akan menjanjikan detik yang mengujakan,” katanya.
FIFA sebelum ini mengesahkan membuka peluang kepada semua pasukan yang layak untuk melakukan perpindahan saat akhir dan perkembangan ini mencetuskan pelbagai andaian membabitkan penghijrahan Ronaldo secara pinjaman.
Sekurang-kurangnya Ronaldo mampu menyertai mana-mana pasukan untuk tempoh singkat di mana sebelum ini situasi seperti ini mungkin tidak pernah berlaku dalam era bola sepak moden.
Sekiranya menjadi realiti, Ronaldo dijangka akan kembali berada di pertandingan sama dengan Lionel Messi sejak kali terakhir ketika Piala Dunia 2022. – AGENSI