fbpx

Rampas 272.6 tan besi sekerap RM1.64 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Besi sekerap yang dirampas JKDM di Zon Bebas Pelabuhan Barat. Foto oleh SADDAM YUSOFF

KLANG – Taktik menyeludup masuk 272.6 tan besi sekerap dengan diikrarkan komponen kenderaan terpakai berjaya dibongkar menerusi penahanan 12 buah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat, baru-baru ini.

Kesemua barangan itu diperoleh menerusi beberapa siri pemeriksaan dan sitaan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, siasatan awal mendapati besi sekerap itu telah diimport daripada beberapa buah negara di benua Amerika, Eropah dan Asia.

Katanya, besi sekerap tersebut yang bernilai RM1.64 juta termasuk cukai telah diikrarkan antaranya sebagai alternator, campuran tembaga dan komponen kenderaan terpakai.

“Kesemua barangan dagangan itu dianalisa pihak berkaitan sebelum disahkan sebagai besi sekerap.

“Kita percaya ia akan digunakan bagi tujuan proses kitar semula di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah di sini, hari ini.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan mendapati kesemua besi sekerap seberat 272,696 kilogram itu tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).

Jelas Raizam, penyeludupan besi sekerap ini juga didapati tidak bermusim dan melibatkan pengimport yang berlainan.

“Setiap masa ada yang masuk dan setiap masa juga ada yang ditahan kita.

“JKDM sentiasa mempertingkatkan kawalan bagi memastikan negara menjadi lambakan bahan-bahan kitar semula tanpa permit,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967.

“Justeru, JKDM berharap orang ramai terus membantu dalam penyaluran maklumat bagi membanteras isu besi sekerap atau e-waste di mana-mana pelabuhan termasuk Pelabuhan Klang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI