fbpx

Quartararo kempunan lagi di GP British

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUARTARARO

SILVERSTONE – Impian Fabio Quartararo menamatkan kemarau kemenangan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) British bertukar menjadi igauan ngeri apabila masalah teknikal memusnahkan peluang keemasan juara dunia 2021 itu.

Quartararo bermula sempurna di Litar Silverstone apabila mendahului dengan penuh bergaya selepas perlumbaan disambung semula ekoran insiden tumpahan minyak yang menyebabkan perlumbaan dihentikan seketika pada pusingan ketiga.

Namun, segalanya musnah sekelip mata di pusingan ke-12 apabila peranti pelaras ketinggian belakang jentera M1 mengalami kerosakan menyebabkan pelumba dari Perancis itu terpaksa menarik diri.

Disebabkan masalah tersebut, pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi menjuarai perlumbaan diikuti Johann Zarco (Honda) di tempat kedua dan kedudukan ketiga menjadi milik Marc Marquez (Ducati).

“Hari ini adalah perlumbaan saya. Segalanya berjalan sempurna, saya tahu bila nak agresif di selekoh tetapi malangnya, nasib tak menyebelahi saya.

“Saya dah lama tak rasa tunggangan selancar ini. Jentera hari ini adalah yang terbaik dalam beberapa tahun. Tapi apa boleh buat, inilah lumrah sukan permotoran,” kata Quartararo.

Pengarah Pasukan Monster Energy Yamaha, Massimo Meregalli mengakui keputusan itu amat mengecewakan buat seluruh pasukan.

“Hati kami luluh untuk Fabio. Dia menunggang seperti juara sebenar. Kerosakan pada peranti belakang memang mengejutkan dan tidak dijangka. Dari segi prestasi, kita sudah mula nampak peningkatan pada jentera baharu kami ini,” jelasnya.

Quartararo kini menghuni tangga kelapan dalam kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 59 mata sementara Marquez kekal mendahului carta menerusi 196 mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI