KUALA LUMPUR – Malaysia, Singapura dan Vietnam menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tenaga elektrik boleh diperbaharui itu adalah dari sumber tenaga angin luar pesisir antara ketiga-tiga negara.
“Saya bersama rakan sejawat dari Singapura dan Vietnam telah menyaksikan pertukaran perjanjian penting ini yang melibatkan MY Energy Consortium dari Malaysia (gabungan TNB dan Petronas), PTSC dari Vietnam (anak syarikat Petrovietnam), serta Sembcorp Utilities dari Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui itu diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata, projek itu memberi tumpuan kepada pemanfaatan sumber tenaga angin luar pesisir Vietnam bagi menjana elektrik bersih.
Kata beliau, ia akan disalurkan merentasi sempadan melalui kabel dasar laut yang dicadangkan, dan disambungkan ke grid nasional di Semenanjung Malaysia.
Ujar beliau, inisiatif itu sejajar dengan visi Grid Kuasa ASEAN dan menyokong agenda nyahkarbon serantau bertujuan menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan rendah karbon.
“Ia juga memperkukuh kerjasama tenaga serantau dan membangunkan model perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan yang berskala.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk terus memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh integrasi serantau, dan membina masa depan rendah karbon untuk seluruh rantau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE