KUALA LUMPUR – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyeru blok serantau mengaplikasi pendekatan kolektif bagi menangani pelbagai cabaran global termasuk isu tarif Amerika Syarikat (AS) yang dilihat memberi kesan kepada Asia Tenggara.
Dalam konteks ini, pendekatan kolektif dilaksanakan ASEAN membolehkan blok serantau itu meminimumkan kesan terhadap rakyat, sekali gus berkembang secara mampan dengan pemikiran berpandangan jauh.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, susulan itu, ASEAN perlu merebut peluang sebaiknya memperkukuhkan integrasi ekonomi serantau bagi memastikan terlindung daripada kejutan luaran.
“Perang perdagangan antara AS dan China secara dramatik mengganggu corak pengeluaran dan perdagangan global yang mana kelesuan ekonomi global dijangka berlaku.
“Kita juga berhadapan dengan kesan perubahan iklim yang semakin pantas serta gangguan teknologi.
“Di seluruh dunia, suhu dan paras laut meningkat dan kecerdasan buatan (AI)berkembang lebih cepat daripada tindak balas kebanyakan kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini semalam.
Mohamad berkata, pada masa sama, negara rendah di rantau ini turut terdedah kepada kenaikan paras laut selain iklim panas menyebabkan kejadian cuaca ekstrem.
“Rakyat kita yang menikmati kadar penembusan internet yang tinggi, juga terdedah kepada penggunaan teknologi seperti AI yang berniat jahat dan tidak dikawal.
“Jadi, dengan penuh rasa tanggungjawab, saya menyeru agar kita semua menangani cabaran-cabaran mendatang secara kolektif.

“Kita mesti memainkan peranan aktif dalam menghadapi pergolakan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Pada masa sama, ASEAN juga perlu berdiri teguh sebagai pemacu utama kepada blok serantau bagi memastikan tidak berlaku sebarang perpecahan khususnya apabila menerima tekanan daripada pihak luar.
Dalam hal ini, kepusatan ASEAN perlu menjadi kompas kepada blok serantau agar gabungan itu terus diperkukuh serta tidak mudah berpecah.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, ASEAN mesti menawarkan jalan yang berbeza berdasarkan dialog, kerjasama dan multilateralisme.
“Kita mesti berfikir secara serius bagaimana ASEAN boleh memberi sumbangan yang membina dan positif kepada perkembangan global,” kata Mohamad.
Mohamad berkata, sumbangan itu termasuk kemampuan bersuara dengan tegas dan sepakat dalam isu-isu keamanan selain keadilan kesaksamaan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, menerusi Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, cadangan lanjutan dan peluasan gencatan senjata di Myanmar turut diutarakan bagi menghentikan keganasan secara menyeluruh serta melaksanakan Konsensus Lima Perkara secara berkesan.
Sekretariat ASEAN berkata, langkah itu bukan sahaja mampu meredakan konflik berlarutan, malah membuka ruang penyaluran bantuan kemanusiaan secara selamat dan berkesan.
“Menteri Luar ASEAN turut menekankan kepentingan memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi penyaluran bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula komuniti terjejas,” katanya.
Pada masa sama, mesyuarat turut menerima pakai Garis Panduan Memudahkan Akses Timor-Leste kepada Instrumen dan Perjanjian Undang-Undang ASEAN.
“Ia menandakan kemajuan berterusan ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.
“Selain itu, mesyuarat turut meneliti dan meluluskan draf Tambahan kepada Perjanjian Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Eksekutif SEANWFZ semasa mesyuaratnya pada 29 April lalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE