fbpx

Letih bukan punca utama kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LANGKAH Pearly-Thinaah pada Malaysia Masters tersekat di separuh akhir selepas tewas kepada Yi Fan-Shu Xian. - ISKANDAR ISHAK

HASRAT beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meraih gelaran berturut-turut tidak kesampaian apabila langkah mereka tersekat di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters.

Pada perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil kelmarin, juara Terbuka Thailand minggu lalu itu terpaksa akur tewas 16-21, 21-15, 14-21 kepada beregu China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Meskipun Malaysia Masters merupakan kejohanan kedua berturut-turut mereka, namun ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak tidak menganggap ia menjadi masalah besar buat anak-anak buahnya itu.

Sebaliknya, beliau menganggap pasangan lawan menampilkan aksi lebih baik selain bijak mengambil kesempatan atas kekurangan beregu negara ketika berada dalam situasi permainan di depan gelanggang.

“Dalam tempoh dua minggu ini, mereka mengharungi perlawanan yang cukup sengit tetapi hari ini (kelmarin) kita tewas kepada pasangan China. Bagaimanapun, Pearly-Thinaah sudah buat yang terbaik dan saya berpuas hati dengan mereka.

“Itu (kejohanan berturut-turut) memang sudah menjadi lumrah buat seorang pemain yang berada di tahap tertinggi. Bagi saya, itu bukan satu masalah kerana mereka sentiasa fokus dengan apa yang mereka ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji sikap profesional ditunjukkan beregu No. 4 dunia berkenaan apabila tidak mencampur adukkan masalah peribadi ke dalam latihan dan terus memberikan komitmen 100 peratus.

“Apa yang paling utama adalah mereka dapat membezakan masalah luaran dengan latihan dan prestasi. Mereka sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan keinginan mereka untuk menang tidak pernah luntur,” ujar Rosman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI