GEORGE TOWN – Kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa dera ibu bapanya mendakwa dia dipukul, dirotan dan dicubit kerana menyembunyikan baki biskut yang tidak dapat dihabiskan di dalam almari pakaian.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, perkara itu diberitahu oleh mangsa berusia 12 tahun itu ketika dia bertemu kanak-kanak perempuan itu di Hospital Pulau Pinang (HPP), Jumaat lalu.
Menurutnya, mangsa mendakwa ibu bapanya ‘naik angin’ sebaik mendapat tahu berhubung dia menyorokkan sisa biskut dan kejadian dia dipukul dikatakan bukan yang pertama kali, malah telah berlarutan selama berbulan-bulan.
“Saya sedih melihatnya. Saya ada tanya kepadanya dan dia beritahu gembira berada di hospital. Dia dakwa, ada simpan baki biskut sebab tak dapat habiskan. Kalau buang nanti kena marah dan terpaksa sorok di dalam almari pakaian.
“Tindakannya itu diketahui ibu bapanya sebelum mereka naik angin. Dia (mangsa) ada cerita, bapa merotannya, manakala ibu pula mencubit pada bahagian muka. Ini yang diberitahu kanak-kanak itu kepada saya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jelas Siew Kim, keadaan luka kanak-kanak tersebut akibat dirotan kini dilaporkan semakin beransur pulih.
“Dia kini sedang mendapatkan rawatan di hospital dan juga ada kaunselor. Kami memantau keadaannya sepanjang mangsa.
“Kecederaan kini sudah beransur pulih tetapi bukan 100 peratus. Saya ada lihat gambar kecederaan, keadaan luka sebelum menerima rawatan memang sangat serius. Sangat kesian tengok keadaannya seolah-olah mereka melepaskan geram.

“Kita sedang berusaha untuk mencari siapa yang boleh menjaga kanak-kanak ini nanti dan biasanya ialah saudara terdekat. Jika tiada sesiapa, mungkin dia ditempatkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, kanak-kanak tersebut juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan hasil dapatan oleh Pegawai Pelindungan JKM daripada guru sekolah terbabit memaklumkan yang mangsa mempunyai kelakuan yang baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, reman suspek wanita yang juga ibu kanak-kanak perempuan itu disambung reman sehingga 29 Mei ini.
Katanya, sebelum itu wanita berusia 49 tahun itu ditahan pada Rabu lalu dan perintah reman terhadapnya tamat semalam.
Menurut Sazalee, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau penderaan terhadap kanak-kanak.
Kelmarin, polis turut menyambung tempoh reman terhadap suami wanita tersebut sehingga 29 Mei ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri berusia 47 Dan 49 tahun bagi membantu siasatan kes seorang murid perempuan disyaki didera termasuk dikurung dalam sangkar anjing.
Kes tersebut terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada guru besar sekolah mangsa pada Selasa lalu.














