KUALA LUMPUR – Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sudah pun memenuhi segala syarat dan kriteria ditetapkan oleh First Instance Body (FIB) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sepanjang permohonan lesen kebangsaan.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad menjelaskan, kelab itu kini dalam proses menyelesaikan baki tunggakan untuk bulan Februari sehingga April manakala gaji pada Mei 2024 sehingga Disember 2024 telah pun diselesaikan.
“Mengenai isu tular mengatakan pemain mendakwa kita ada lagi tunggakan yang menyebabkan kita tidak layak untuk melepasi syarat perlesanan, (sememangnya) saya menafikan dakwaan itu.
“KDN FC sebenarnya sudah memenuhi segala syarat yang ada untuk kita mendapatkan lesen kebangsaan dengan ‘sanction’ dan sebab itu kita hanya ada tiga bulan sahaja lagi tunggakan iaitu pada Februari 2025 sehingga April 2025.
“Kita tetap komited untuk berusaha menyelesaikannya secepat mungkin. Itu pun bukan semua pemain yang ada tunggakan tiga bulan (Feb hingga April), tetapi ada juga yang masih berbaki dua bulan serta sebulan sahaja.
“Jadi saya mahu tegaskan yang kelab sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu ini. Kita tetap bayar secara berperingkat dan akan selesaikan sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, bekas pemain KDN FC, Jasmir Mehat mempersoal mengenai lesen kebangsaan yang diberikan kepada KDN FC apabila mendakwa hak dirinya dan rakan sepasukan sebelum ini masih belum ditunaikan sepenuhnya.
Mengakui tidak berniat untuk jadi ‘budak nakal’ hingga menyulitkan keadaan pasukan itu beraksi di Liga Malaysia (Liga M), musim depan, pemain kelahiran Melaka itu bertegas niat utamanya adalah untuk mendapatkan hak yang dinafikan.
Dalam kenyataan MFL sebelum ini, FIB memberikan lesen kebangsaan bersyarat kepada Kuala Lumpur City FC, KDN FC dan PDRM FC mengikut artikel 8 (l) Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR) dan perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE