KUALA LUMPUR – Majoriti kes gangguan seksual membabitkan kanak-kanak yang direkodkan dari tahun 2023 hingga April 2025 melibatkan individu yang dikenali mangsa termasuk dalam kalangan kenalan, ahli keluarga serta orang dipercayai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, terdapat juga kes yang mana mangsa secara tidak sedar telah mendedahkan diri mereka kepada risiko jenayah seksual itu.
“Terdapat segolongan mangsa terperangkap dengan perbuatan sendiri di mana pada awalnya mangsa dengan suka rela berkongsi gambar atau video pornografi diri sendiri kepada kenalan melalui aplikasi media sosial.
“Kemudiannya menjadi punca kepada suspek mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar atau video tersebut kepada umum untuk mendapatkan wang atau mendapatkan lebih banyak bahan penganiayaan seksual kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dalam tempoh di antara 2023 hingga April 2025, sebanyak 7,982 kes dicatatkan melibatkan pelakunya yang dikenali mangsa itu sendiri.
Beliau turut mendedahkan sebahagian besar jenayah itu berpunca daripada penyalahgunaan media sosial dan teknologi moden yang membuka ruang kepada penjenayah untuk bertindak.
“Bagi penjenayah, peluang dan ruang adalah kesempatan utama yang menjadi punca mendorong mereka untuk melakukan sesuatu jenayah.
“Kecanggihan teknologi dengan penggunaan internet yang meluas, penggunaan platform media sosial telah menjadi salah satu sumber utama untuk penyebaran maklumat.
“Secara tidak langsung ia memudahkan penjenayah mengakses serta membolehkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dikongsi dengan mudah,” katanya.
Beliau turut menekankan kerjasama masyarakat khususnya ibu bapa dan penjaga, amat penting dalam membendung isu ini.
“PDRM melalui Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) sentiasa menjalankan kempen kesedaran dari semasa ke semasa, termasuk ceramah, forum dan pameran dengan kerjasama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan,” ujarnya.
Katanya, usaha berterusan dalam memberikan pendidikan, pendedahan dan kefahaman tentang bahaya jenayah seksual serta langkah-langkah pencegahannya perlu diteruskan bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa.