LIVERPOOL – Penutup lebih sempurna yang diidamkan oleh peminat Liverpool tidak kesampaian apabila sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan Crystal Palace di Anfield, sebentar tadi.
Bagaimanapun, suasana di stadium tetap gamat dimana ribuan penyokong dalam stadium menzahirkan kegembiraan untuk menyaksikan penyerahan piala Liga Perdana Inggeris.
Lebih manis majlis penyerahan piala ini turut disaksikan sendiri oleh bekas pengurus, Jurgen Klopp dan mantan kapten The Reds, Jordan Henderson
Terdahulu, walaupun Liverpool menepati ramalan dengan menguasai aksi di babak pertama, Crystal Palace berjaya mencipta kejutan apabila memastikan 45 minit pertama menjadi milik mereka.
Selepas membuka jaringan pada minit ke-9 menerusi Ismaïla Sarr, Crystal Palace berjaya merobek gawang Liverpool buat kali kedua pada minit ke-31 namun jaringan Jean-Philippe Mateta dibatalkan kerana kesalahan offsaid.
Skrip hampir sama berterusan di babak kedua dengan menyaksikan The Reds kekal mendominasi permainan namun sebaik memasukki minit ke-68, tekanan tuan rumah makin memuncak apabila hilang seorang pemain ekoran layangan kad merah kepada Ryan Gravenberch.
Selepas dihimpit kemarau jaringan dalam tiga aksi sebelum ini, bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah kembali menggegar apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-84. – KOSMO! ONLINE