MELAKA – Dua beradik dipenjara selama 45 bulan dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merompak seorang lelaki menggunakan pisau dan pemutar skru dua tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Azmi Osman dan Mohd. Yusni Osman masing-masing berusia 28 dan 42 tahun menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu.
Mereka dengan niat bersama didapati melakukan rompakan berkumpulan dan melarikan wang RM900, kad bank, MyKad dan lesen memandu S. Surendhran pada pukul 1.34 tengah hari, 21 Januari 2023 di belakang sebuah kilang di Ayer Keroh.
Mengikut fakta kes, mangsa warga India yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dirompak dua lelaki ketika bertugas di lokasi berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Peguam Chia Cheng Wee yang mewakili dua tertuduh itu merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf sepanjang ditahan di penjara sejak Januari 2023. – KOSMO! ONLINE