KUALA LUMPUR – Penerbitan komik Wira Anti Rasuah merupakan langkah signifikan dalam mendidik generasi muda sejak di bangku sekolah lagi agar membenci amalan rasuah dan memahami kesannya terhadap negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, komik itu merupakan satu inisiatif kerjasama strategik antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi meningkatkan kesedaran dan menjadi medium pendidikan antirasuah dalam kalangan murid sekolah rendah.
Katanya, komik itu boleh digunakan oleh guru bukan hanya dalam kelas, tetapi juga melalui aktiviti luar bilik darjah, selari dengan kandungan dalam kurikulum sedia ada.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada SPRM di atas komitmen besar dalam menjayakan usaha kreatif ini.
“Mudah-mudahan usaha ini dapat diperluaskan dan meningkatkan advokasi masyarakat khususnya generasi muda tentang anti-rasuah,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir pada majlis pelancaran buku koleksi komik Wira Anti Rasuah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dangangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE