PETALING JAYA – Belia ASEAN perlu diberi ruang dan peluang yang lebih besar untuk memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterlibatan aktif belia bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak dalam landskap sosial, ekonomi dan politik yang semakin kompleks.
“Kita masih perlu mempertingkatkan kehadiran golongan belia, memberi ruang untuk mereka menyuarakan pandangan dan dalam kesempatan yang ini, kita semua perlu mendengar.
“Bagi pihak rakan sekerja saya, negara anggota dan pemimpin mereka, saya mengucapkan terima kasih atas penyertaan mereka. Lebih-lebih lagi kami merasakan begitu banyak harapan daripada anda, bukan sahaja dari negara anda, tetapi dari kedua-dua teras ASEAN yang sangat padu dan kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan sebelum memulakan sesi Dialog bersama Wakil Belia ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. .
Sementara itu, Anwar turut menyentuh mengenai pelan kerja ASEAN berkaitan belia yang dilihat mampu menghasilkan sebuah rangka kerja bagi menangani kebimbangan serta isu-isu berbangkit.
Katanya, beliau mengambil kira setiap kenyataan berhubung isu-isu belia, sekali gus menyifatkan golongan tersebut telah bersedia dengan pembentangan isu-isu yang lebih substantif berhubung isu kestabilan dan penjajaran.
“Apa yang penting ialah agar belia menjadi lebih berkesan dalam mengekspresikan suara mereka .
“Jadi pelan kerja ASEAN mengenai belia nampaknya dapat menyediakan rangka kerja untuk menangani banyak isu dan kebimbangan ini,” katanya.
Anwar dalam masa yang sama turut mengingatkan kejayaan dan komitmen yang dicapai hari ini adalah adalah berdasarkan hubungan yang selesai di antara semua pihak.
“Kami berkomunikasi dengan mereka, kami belajar daripada mereka dan sudah tentu, kerana ini kami dapat membuat keputusan dengan cepat dan pantas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE