SUBANG JAYA – Tiga suspek yang disyaki terlibat dalam kes tetak seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan, di sini, semalam berjaya ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, penahanan ketiga-tiga suspek lelaki itu dilakukan di Jalan USJ 9, di sini, kira-kira pukul 3 petang.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya berjaya membuat tangkapan ke atas semua suspek.
“Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mengaku terlibat dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, permohonan reman ke atas ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu akan dibuat esok, di Mahkamah Shah Alam bagi siasatan lanjut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki parah selepas ditetak tiga individu termasuk bekas suami kekasihnya di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan, di sini.
Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala akibat dipukul dan ditetak suspek menggunakan pisau dan batang besi.
Menurut Wan Azlan, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga dan cemburu. – KOSMO! ONLINE