JEMPOL -Sekurang-kurangnya 88 buah rumah dan sebuah asrama di dua lokasi penempatan di Sungai Lui, di sini, mengalami kerosakan akibat ribut kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali berkata, kerosakan itu membabitkan sembilan rumah di Kampung Baru Ayer Hitam dan 79 rumah di Felda Lui Barat.
“Kita menjangkakan lebih banyak rumah rosak akibat ribut kira-kira 15 minit. Penduduk yang terjejas sedang dibantu dan kerosakan rumah juga sedang dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya.
“Buat sementara, 24 penduduk yang terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat yang dibuka pada 6.45 petang tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Mohd Razi, kejadian ribut turut menyebabkan asrama SMK Lui Barat ditutup sementara atas faktor keselamatan dan pelajar diminta pulang ke rumah. -KOSMO! ONLINE.