fbpx

Sumbangan terakhir, keluarga Fauziah Rauf terima RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR-UL Afida mewakili Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada anak Allahyarham Fauziah, Nilly Wahida.

SELAYANG – Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada keluarga wartawan veteran, Fauziah Rauf, 81, yang meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Selayang.

Sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA itu disampaikan Nur-ul Afida ketika hadir di Masjid Selayang Baru bagi mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“Sebenarnya kita pernah menyerahkan sumbangan kepada arwah menerusi Tabung Kasih@HAWANA pada 2023. Ketika itu sempena sambutan HAWANA dan kita menjejaki rakan-rakan media veteran.

“Arwah sudah menerima sumbangan sebanyak RM1,500 pada ketika itu dan hari ini saya mewakili Menteri Komunikasi menyampaikan sumbangan kepada keluarganya,” katanya.

Nur-ul Afida turut berkongsi kenangan peribadi bersama Allahyarham yang disifatkan salah seorang pendidik awal dalam kerjayanya sebagai wartawan.

“Saya secara peribadi mempunyai kenangan dengan Aunty Fauziah. Saya memulakan kerjaya di Harian Nasional dan beliau antara pengarang di akhbar berkenaan.

“Saya ditempatkan di meja wanita di bawah bimbingan Allahyarham. Beliau seorang yang tegas, berterus-terang dan mendidik dengan ikhlas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, arwah juga pernah membimbing abang kandungnya, Huzz dan menjadi antara tokoh penting dalam mencorak kewartawanan generasi baharu.

“Arwah memang ikhlas mengajar. Kami belajar daripada orang lama yang tak simpan ilmu. Apa dia tahu, dia ajar terus,” katanya.

Jenazah Allahyarham Fauziah dibawa ke Masjid Selayang Baru untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Zohor.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan terdekat hadir memberikan penghormatan terakhir. Turut kelihatan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan.

Fauziah merupakan pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, majalah Wanita serta menerbitkan pelbagai bahan bacaan menerusi Nilly Publication.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) 2017.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan 13 cucu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI