fbpx

Sekolah patriotik UMNO jadi tumpuan, 200 permohonan baharu diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang sempena PBAKL 2025, di sini, hari ini. - Foto Oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sekolah Patriotik UMNO terus mencuri tumpuan apabila menerima lebih 200 permohonan baharu untuk pengambilan kumpulan ketiga, meskipun sesi latihan bagi kumpulan kedua masih berlangsung.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permintaan tinggi itu dilihat sebagai isyarat jelas terhadap keyakinan golongan muda terhadap modul latihan yang ditawarkan, yang disifatkan mampu melahirkan barisan pemimpin masa depan berwawasan serta berjiwa perjuangan.

“Untuk pengambilan ketiga nanti, kita hanya akan ambil sekitar 50 hingga 60 orang sahaja. Kita lebih utamakan kualiti berbanding kuantiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, seramai 48 graduan telah dilahirkan dalam kumpulan pertama, manakala 61 peserta kumpulan kedua kini sedang mengikuti latihan intensif di sekolah tersebut.

Beliau menegaskan bahawa program tersebut bukan sahaja melengkapkan peserta dengan latihan kepimpinan, tetapi turut memberi kelebihan tambahan kepada mereka yang sudah memiliki kelayakan akademik dari institusi pengajian tinggi awam atau institusi pengajian tinggi swasta.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan Sekolah Patriotik UMNO berkata, sekolah berkenaan bertujuan melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik, tetapi menjiwai nilai perjuangan UMNO yang sebenar.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekolah itu adalah sebuah institusi yang bukan sekadar wadah pembelajaran politik, tetapi medan untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI