PETALING JAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli tidak berniat untuk berputus asa, mahupun lari dari cita-cita idealisme yang diperjuangkannya selama ini.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi itu berkata, cita-cita itulah yang telah menjerumuskan dirinya ke dalam aktivisme dan politik dahulu.
“Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.
“Dengan lebih banyak masa yang ada, insya-Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini tewas merebut jawatan Timbalan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Nurul Izzah Anwar.
Dalam saingan itu, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan Rafizi yang meraih 3,886 undi.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengucapkan terima kasih kepada mesej sokongan yang diterimanya serta mereka yang mendoakan kemenangannya tempoh hari.
Ujarnya, beliau sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa dirinya meninggalkan dewan bahkan merayu agar tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.
“Dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya saya akan cuba membalas seberapa banyak mesej sokongan yang saya terima.
“Kepada mereka yang kecewa, kita mesti reda dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga dari lubuk hati saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE