PETALING JAYA – Memilih tarikh ‘cantik’, pelakon Mas Khan selamat bergelar suami kepada pramugari Anastasha Diana selepas melangsungkan pernikahan di sebuah dewan acara di Gombak, hari ini.
Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 31, sah menjadi suami kepada wanita berusia 28 tahun itu dengan hanya sekali lafaz.
Detik bersejarah terbabit dikongsikan pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu menerusi beberapa hantaran semula di Insta Story daripada tetamu.
Sebelum itu, Mas Khan yang memilih persalinan rona merah jambu berkongsi suasana dan debaran sebelum naik pelamin.
“Dari dulu aku tengok saja mak atau mak cik hias tangga dengan bunga bila abang atau adik-beradik kahwin.
“Aku anak nombor dua, tak sangka aku orang terakhir naik pelamin. Hari ini tiba giliran aku,” katanya dalam salah satu hantaran.
Pasangan terbabit dinikahkan bapa pengantin perempuan dan Mas Kha menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,497 beserta wang hantaran RM20,000.
Pengantin perempuan juga menerima seutas gelang emas sebagai tanda kasih dan cinta.
Selepas pernikahan, mempelai yang bertunang tahun lalu diraikan dalam majlis resepsi di lokasi sama pada sebelah petang.
Manakala majlis keluarga pengantin lelaki dijadualkan berlangsung di Genting Highlands, Pahang pada 14 Jun depan. – KOSMO! ONLINE